Bola Sepak (Tugasan Blog SIW505)
Oleh : Wan Nornajwa
Binti Wan Othman
ISDEV, USM
PSM0114/13
Artikel ini ditulis bagi memenuhi tugasan artikel blog
mata pelajaran SIW505 (Epistemologi dan Tasawur Islam) ISDEV, USM. Struktur
artikel ini mengandungi 3 komponen utama iaitu pengenalan, isi kandungan dan
kesimpulan. Keseluruhan artikel ini akan memaparkan tiga isi kandungan epistemologi
yang kemudiannya dihujahi dengan tasawur Islam pada setiap bahagian yang dapat
digarap dalam permainan bola sepak.
Pendahuluan
Bola Sepak merupakan permainan yang sangat sinonim
dengan budaya masyarakat Melayu. Berdasarkan catatan sejarah, permainan ini
mula dimainkan di Malaysia sebelum tahun 1920an lagi. Ianya dibawa masuk ke
Tanah Melayu oleh pegawai-pegawai British yang bertugas di sini. Aura obses
terhadap bola sepak bukan hanya menular dalam setiap lapisan masyarakat di
Malaysia, malah seantero dunia. Sehubungan itu, satu cetusan idea timbul untuk
melihat aura kehebatan permainan ini dalam kehidupan masyarakat Melayu beragama
Islam khususnya. Mungkin sekilas pandang bagi kita, bola sepak hanyalah sebuah
permainan. Namun, terdapat kemurniaan ajaran Islam yang dapat dilihat dalam
permainan ini.
Isi Kandungan
Terdapat frasa-frasa yang bernilai menggambarkan
permainan ini. Antaranya adalah setiakawan, keadilan dan disiplin.
i)
Setiakawan
Antara faktor keunggulan gol sesebuah pasukan dalam
sesebuah permainan bola sepak adalah semangat sepasukan yang utuh. Kerjasama antara
pemain dalam satu pasukan dapat menyeragamkan permainan seperti wujud
ikatan-ikatan yang boleh meluncurkan bola masuk ke dalam gol walaupun pada
hakikatnya, kadang-kadang percubaannya tidak menjadi. Keseragaman permainan
pemain dalam pasukan melambangkan kesatuan, gol yang dijaringkan pula merupakan
matlamat.
Dari sudut pandangan Islam, matlamat manusia dalam
kehidupan adalah Allah SWT. Fitrah manusia lahir untuk mencari ruh rabbaniyyah
untuk diletakkan dalam diri, diserap dalam jiwa kehambaan. Menurut pandangan M.
Natsir, bekas ulama dan pemerintah Indonesia, tujuan hakiki kehidupan manusia
adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Keredhaan Allah tersebut
memungkinkan kita mencapai kehidupan sebenar dalam mengejar kualiti kehidupan seorang
manusia. Namun bukan kebendaan yang menjadi sasarannya, sasarannya ialah
kehidupan ukhrawi yang mana puncak kebahagiannya adalah bertemu dengan Al-Khaliq
Azza Wajalla.
Begitu juga konsep kesatuan yang melambangkan ukhuwwah.
Bahkan definisi ukhuwwah ini melangkaui definisi setiakawan itu sendiri.
Tanpa ukhuwwah, seseorang akan lambat untuk bergerak mencapai matlamat
kerana ruang lingkupnya hanya manifestasi hubungannya dengan Allah SWT semata-mata
tanpa wujudnya hubungan manusia dengan manusia. Manusia diwajibkan untuk
bersama-sama dalam sebuah jamaah untuk mencapai matlamat utama. Namun, sesebuah
jamaah sukar untuk mencapai matlamat utama sekiranya strategi dan keadaan dalam
jamaah itu tidak tersusun rapi.
Firman Allah SWT yang membawa maksud :
“Dan berpegang
teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu
bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara
hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah
kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu
telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa
jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam
juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya,
supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” [Surah Al-Imran : 103].
Menurut Ibn Jauzi,
maksud “tali Allah” merujuk kepada Kitab Allah (Al-Quran), jemaah, agama Allah,
perjanjian Allah, ikhlas, serta perintah Allah dan ketaatannya.
ii)
Keadilan
Keadilan dalam bola sepak boleh dilihat pada pengadil
yang mengadili permainan. Ada ketika permainan bola sepak berat sebelah,
sehinggakan ada pemain yang tidak bersalah dilayangkan kad merah dan kuning,
petanda amaran kepada pemain supaya tidak melakukan kesalahan yang berulang. Tujuannya
adalah untuk memenangkan pihak yang lain.
Tasawur Islam mendapati, masyarakat dibutakan dengan
suasana yang mana zahirnya itu kadang-kadang merupakan satu penipuan besar yang
sangat terselindung. Keadilan dalam kehidupan seperti dirosakkan oleh
tangan-tangan manusia itu sendiri. Benarlah disebut dalam Al-Quran, hidup ini
adalah permainan dan senda gurauan. Bukan mudah untuk meletakkan keadilan di
tempat yang sebenar. Tanpa sedar, setiap manusia keseluruhannya boleh digelar
zalim kerana definisi zalim itu sendiri membawa maksud tidak meletakkan sesuatu
di tempatnya. Keadilan dalam Islam memerlukan
kepimpinan yang bertanggungjawab serta mempunyai kekuatan moral dan kejujuran
yang tinggi, justeru memahami keadilan bermula daripada proses perlantikan
sesuatu jawatan (Nor Hartini, t.t).
iii)
Disiplin
Dalam suasana permainan bola sepak, baik pemain
mahupun penonton, disiplin mereka dapat ditanggapi. Secara keseluruhannya,
disiplin pemain dan penyokong merupakan faktor penyumbang kejayaan pasukan
pilihan. Permainan yang kemas dan teratur diiringi semangat daripada penyokong
yang bersorak tanpa ada unsur-unsur provokasi kepada pihak lain menjadikan pasukan
pilihan unggul berbanding pasukan yang lain. Unsur provokasi yang dimaksudkan
di atas adalah sorakan sindiran kepada pihak lawan, membaling botol di padang
serta memasang mercun ketika dan selepas perlawanan bola sepak. Oleh itu,
disiplin di sini menggambarkan penjagaan hak diri dan orang lain.
Islam adalah agama yang mementingkan disiplin. Dalam
setiap keadaan kita disuruh untuk mengikut peraturan yang telah disediakan
supaya mudah untuk mecapai apa yang diinginkan. Tasawur Islam dalam permainan bola
sepak melihat kewujudan penyokong bola sepak yang menitikberatkan penjagaan
solat walaupun berada dalam keadaan genting. Tuntasnya, cukup untuk
menggambarkan pegangan seseorang muslim apabila melihat dan menilai bagaimana
seseorang itu menjaga, melaksanakan dan menghayati solatnya. Kaitan solat dan
permainan bola sepak adalah faktor pertolongan Allah jua yang memberikan
kemenangan kepada sesiapa atau pasukan mana yang dikehendakinya dengan melihat
kembali penjagaan hak yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
Petikan sepotong hadis dalam Hadis 40 Imam Nawawi :-
Daripada
Abu al-’Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di
belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak!
Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah
nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati
Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila
engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah
bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu,
mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang
memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkan
kamu dengan suatu mudarat, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu kecuali
dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena
telah diangkatkan dan lembaran- lembaran telah kering (dakwatnya).[Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi]
Kesimpulan
Dapat disimpulkan bahawa kesatuan, keadilan dan disiplin
merupakan ibrah yang dapat dilihat dalam sebuah perlawanan bola sepak. Tidak semua
yang wujud dalam rangkumannya adalah betul dan tidak semua juga adalah salah.
Setiap penilaian yang ditafsir adalah berdasarkan pemikiran yang pelbagai.
Sudah semestinya kita dikelilingi dengan pelbagai pemikiran yang perlu diraikan
bersama. Akhir kalam, penilaian yang terbaik itu sudah semestinya berpaksikan
rujukan pertama iaitu, Al-Quran dan Sunnah.
Glosari
Ukhrawi : Bersifat akhirat,
menuju akhirat
Al-Khaliq : Yang Maha Mencipta
Azza wa Jalla : (Allah) Yang Mulia, Yang Memiliki Kebesaran
Ukhuwwah : Persaudaraan dalam Islam