Sunday, January 15, 2012

Nasi Ayam Johor Darul Takzim

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum. Diharap sahabat-sahabat dan rakan-rakan blog sentiasa sihat di bawah lindungan rahmat kasih sayang Allah. Betapa rindunya rasa hati ingin menulis. Sudah 6 bulan bersamaan satu semester tidak mencoret ke ruangan ini. Tempoh yang agak lama menjadi penganggur blog. Bila di hostel, hanya sempat melihat kembali tulisan yang dicoretkan. Sebagai peringatan untuk diri. Apa yang dilontarkan dari hati dan pemikiran kita kepada orang lain itu sebenarnya merupakan nasihat untuk diri juga kerana setiap kata-kata itu ibaratnya kita menyuluh lampu di permukaan cermin, akhirnya cahaya lampu tersebut akan mengena kearah kita juga. Terpulanglah kepada invidu untuk mengelak dan mengawal diri dari terkena cahaya yang kadang-kadangnya itu akan memedihkan mata kita.

Cerita diri ibarat sirih. Pulang melengkapi sebuah keluarga. Cuti semester terakhir, InsyaAllah. Dari Sabah ke Johor. Bertenggek di Johor seketika. Bestnya bermusafir !!! Luasnya bumi Allah. Walaupun tak sempat untuk pusing-pusing di banyak tempat, cukuplah kenal Danga Bay dan kawasan sekitar Johor Bahru. Sekadar merakam dalam memori, melihat kapal-kapal dan bot-bot di Danga Bay, terdetik juga di hati, seronoknya miliki bot yang boleh dibawa ke hulu dan ke hilir menyusuri lautan yang mempunyai 2/3 keluasan dunia ini. Banyak sejarah yang berkaitan lautan.

Bila melihat ciptaan Allah, kagumlah duhai insan. Subhanallah. Alhamdulillah. La ilaha illallah. Allahuakbar. Tiada tara kekuasaanNya. Melalui lautan inilah tersebarnya Ad-Deenul Haq di Tanah Melayu. Imbas sejarah dahulu kala tentang bagaimana para pedagang menyusuri lautan dari Tanah Arab datang ke Tanah Melayu, menjalinkan hubungan diplomatik, berdagang dan menyebarkan Islam. Percaturan Allah. Mereka datang menyelamatkan kita. Tanah Melayu maju ketika itu kerana Allah redha, masyarakatnya mudah menerima dan mengamalkan Islam. Tapi kini, nilai itu sudah terhakis dek penjajahan pemikiran yang berleluasa. Kita hanyut dengan slogan penjajah Inggeris yang membawa slogan Gospel, Gold dan Glory. Walhal, mereka juga punyai misi dan visi besar untuk menyebarkan dakyah mereka. Dan menghancurkan Islam!

Bagi yang sedar, sentiasalah kita sama-sama koreksi diri, mencipta langkah menggilap kembali yang telah luntur. Tidak kiralah banyak atau sedikit, bukan manusia yang berhak menilai. Biarlah Allah menjadi penentunya. Yang penting, kita usaha :)

Dari Johor, insyaAllah akan balik pulang ke gagang malam ini. Jauh perjalanan indah pemandangan. Doakan saya selamat sampai ke destinasi. Khabar dari seorang sahabat menyatakan Kelate nok boh doh. Semoga musafir perjalanan kita selamat dunia dan akhirat.

Mencari makna hidup dalam setiap derapan langkah. Memaknai jiwa seorang hamba dengan erti sebuah perjuangan. Bersama-sama.

"Ya Allah kau tadbirlah akal dan hatiku, keluargaku, sahabat-sahabatku, para pejuang islam dan umat islam seluruh dunia, agar langkah kami sentiasa dalam redhaMu".

mencipta kenangan terindah bersama Aina Mohd Fauzi (^^)Y @ Rumah Che Ni - Taman Desa Skudai.

Terima Kasih daun keladi untuk Che Ni sekeluarga.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...