Thursday, June 30, 2011

Tangisan Hati Seorang Ibu

Bismillahirrahmanirrahim

Bergenang air mata dan sayu merentasi jiwa apabila mendengar rintihan hati seorang ibu.

“Mak cik dah tak tahu nak buat macam mana dengan anak mak cik ni. Dah puas mak cik bagi nasihat. Satu demi satu peringatan mak cik bagi dekat dia. Langsung dia tak endahkan” rintih Mak Cik A.

Ibu mana yang ingin melihat kehidupan anaknya hancur. Binatang pun sayangkan anaknya, inikan jiwa seorang manusia yang bergelar ibu yang pedihnya mengendong anaknya 9 bulan dalam kandungan. Bagai mahu putus urat pula bila melahirkan. Ditatang bagai minyak yang penuh sehingga jiwa muda yang bergelora ini meningkat remaja. Bila ditegur, aksinya seperti sebatang tunggul yang tak mengerti apa-apa. Usia remaja ini 17 tahun, bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

“Mak cik mahu dia tumpukan pada pelajaran. Tinggal beberapa bulan lagi dia akan menghadapi peperiksaan. SPM penentu kehidupannya. Saluran dia untuk menjadi orang yang berguna. Lebih baik dia sengsara sekarang daripada dia menderita nanti” keluh insan bergelar ibu.

Kaca-kaca dari matanya bersinar. Cuba menyelami perasaannya. Bagaimana mahu membahagiakan kesengsaraan ibu ini. Hanya pandangan khusyuk mendengar mampu dibalas.

Tenanglah hati duhai ibu…

Suasana monotos seketika. Teringat menghadiri program motivasi semasa tingkatan 4. Penceramahnya Dr. Badrul Amin. Hebat motivasinya ini, terkesan hingga hari ini. Disuruhnya ibu bapa dan pelajar duduk dalam halaqah keluarga masing-masing, memeluk dan merapatkan dahi supaya wujudnya cantuman cas kasih sayang. Sedikit kecewa ayah tak dapat hadir. Namun, kuasa kasih ibu tetap memberikan kesan mendalam kepada saya dan adik, ‘Amilin. Dipeluknya erat kami. Bergetar bibir mak menyampaikan harapan terhadap dua orang puterinya. Betapa mendalamnya hasrat mak ingin anaknya berjaya menjadi anak solehah yang hebat dan daie yang boleh membawa masyarakat . Terngiang-ngiang lagi di telinga. Kata-kata, tangisan dan pelukan erat mak menjadi motivasi dikala down.

“Alhamdulillah Allah anugerahkan mak” hati berkata. Walaupun kadang-kadang orang nampak buruk, janji, dia ibu yang tak pernah mengecewakan kita!

“InsyaAllah mak cik, kak long cuba selitkan nasihat dan motivasi juga sambil membantu dia dalam pelajaran matematik” harapan diberikan. Harapan moga Allah kabulkan hasrat hati mak cik.

“Mak cik rasa sakit bila mak cik tahu dia tipu mak cik semata-mata orang yang dia sayang tu. Suatu hari bila mak cik masuk dalam bilik dia, dia buat-buat penat dan tidur. Mak cik keluar, mengeluh dan merintih dalam hati bila la anak aku ni nak belajar bersungguh-sungguh. Tiada usaha sedikit pun. Dah puas mak cik bagitau dia, perempuan tu bukan perempuan baik. Dibuatnya agung perempuan tu melebihi mak cik. Angau. Pelajaran terabai. Hari-hari membaca. Membaca mesej. Bila mak cik intai balik saat bunyi mesej telefon berbunyi, bingkas dia bangun dan bermesej... sedihnya hati mak cik...” keluhnya lagi.

“Pemakaiannya kak long tahu? Tak sempurna! Bukan menjaga macam keluarga kita. Pergaulannya bebas. Dulu langsung tidak memakai tudung, sekarang disautnya tudung kecil tanda berubah kerana anak mak cik. Mak cik tak terima walaupun dia buat begitu!” marah mak cik selepas hatinya membentak.

Faham.Ibu ini marahkan anaknya bukan kerana miskinnya harta dan buruknya rupa si buah hatinya. Bahkan tidak sesekali mak cik berniat untuk menghina budak perempuan tersebut. Hasrat hatinya tidak mahu punah dengan cinta dunia. Cinta dan harapan yang tak kan membawanya ke mana dan membawa si anak hanyut deras dalam gelora remaja yang membuak. Harapan agar anaknya bahagia dunia dan akhirat.

Tanpa ibu, siapalah seorang anak. Kasih ibu sepanjang zaman, apalagi jika ibu itu seorang ibu yang solehah, pasti kasihnya kekal membawa kita ke syurga, insyaAllah. Semoga ibu bahagia dunia dan akhirat. Amin. Jadilah kita anak yang soleh yang mampu ibu bapa bawa doa kita selain ilmu berguna dan sedekah jariah yang mampu keduanya bawa bertemu Rab kelak. Walaupun ibu telah pergi sekalipun, tiada kasih lain yang bisa menandingi lautan kasih ibu. Doakan, doakan, doakan mereka bahagia dunia dan akhirat...


Wassalam.

1 comment:

  1. ya..ibu bapa yang baik/solehah xmengharapkan apa2 dr anak2nya melainkan spy anak2 mereka menjadi anak2 yg soleh n solehah..teringat cerpen Anak Soleh pulak..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...