Wednesday, December 4, 2013

Bola Sepak (Tugasan Blog SIW505)

Bola Sepak (Tugasan Blog SIW505)

Oleh : Wan Nornajwa Binti Wan Othman
ISDEV, USM
PSM0114/13


Artikel ini ditulis bagi memenuhi tugasan artikel blog mata pelajaran SIW505 (Epistemologi dan Tasawur Islam) ISDEV, USM. Struktur artikel ini mengandungi 3 komponen utama iaitu pengenalan, isi kandungan dan kesimpulan. Keseluruhan artikel ini akan memaparkan tiga isi kandungan epistemologi yang kemudiannya dihujahi dengan tasawur Islam pada setiap bahagian yang dapat digarap dalam permainan bola sepak.

Pendahuluan

Bola Sepak merupakan permainan yang sangat sinonim dengan budaya masyarakat Melayu. Berdasarkan catatan sejarah, permainan ini mula dimainkan di Malaysia sebelum tahun 1920­an lagi. Ianya dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh pegawai­-pegawai British yang bertugas di sini. Aura obses terhadap bola sepak bukan hanya menular dalam setiap lapisan masyarakat di Malaysia, malah seantero dunia. Sehubungan itu, satu cetusan idea timbul untuk melihat aura kehebatan permainan ini dalam kehidupan masyarakat Melayu beragama Islam khususnya. Mungkin sekilas pandang bagi kita, bola sepak hanyalah sebuah permainan. Namun, terdapat kemurniaan ajaran Islam yang dapat dilihat dalam permainan ini.

Isi Kandungan

Terdapat frasa-frasa yang bernilai menggambarkan permainan ini. Antaranya adalah setiakawan, keadilan dan disiplin.

i)                   Setiakawan

Antara faktor keunggulan gol sesebuah pasukan dalam sesebuah permainan bola sepak adalah  semangat sepasukan yang utuh. Kerjasama antara pemain dalam satu pasukan dapat menyeragamkan permainan seperti wujud ikatan-ikatan yang boleh meluncurkan bola masuk ke dalam gol walaupun pada hakikatnya, kadang-kadang percubaannya tidak menjadi. Keseragaman permainan pemain dalam pasukan melambangkan kesatuan, gol yang dijaringkan pula merupakan matlamat.

Dari sudut pandangan Islam, matlamat manusia dalam kehidupan adalah Allah SWT. Fitrah manusia lahir untuk mencari ruh rabbaniyyah untuk diletakkan dalam diri, diserap dalam jiwa kehambaan. Menurut pandangan M. Natsir, bekas ulama dan pemerintah Indonesia, tujuan hakiki kehidupan manusia adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Keredhaan Allah tersebut memungkinkan kita mencapai kehidupan sebenar dalam mengejar kualiti kehidupan seorang manusia. Namun bukan kebendaan yang menjadi sasarannya, sasarannya ialah kehidupan ukhrawi yang mana puncak kebahagiannya adalah bertemu dengan Al-Khaliq Azza Wajalla.  

Begitu juga konsep kesatuan yang melambangkan ukhuwwah. Bahkan definisi ukhuwwah ini melangkaui definisi setiakawan itu sendiri. Tanpa ukhuwwah, seseorang akan lambat untuk bergerak mencapai matlamat kerana ruang lingkupnya hanya manifestasi hubungannya dengan Allah SWT semata-mata tanpa wujudnya hubungan manusia dengan manusia. Manusia diwajibkan untuk bersama-sama dalam sebuah jamaah untuk mencapai matlamat utama. Namun, sesebuah jamaah sukar untuk mencapai matlamat utama sekiranya strategi dan keadaan dalam jamaah itu tidak tersusun rapi.

Firman Allah SWT yang membawa maksud :

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” [Surah Al-Imran : 103].

Menurut Ibn Jauzi, maksud “tali Allah” merujuk kepada Kitab Allah (Al-Quran), jemaah, agama Allah, perjanjian Allah, ikhlas, serta perintah Allah dan ketaatannya.

ii)                Keadilan

Keadilan dalam bola sepak boleh dilihat pada pengadil yang mengadili permainan. Ada ketika permainan bola sepak berat sebelah, sehinggakan ada pemain yang tidak bersalah dilayangkan kad merah dan kuning, petanda amaran kepada pemain supaya tidak melakukan kesalahan yang berulang. Tujuannya adalah untuk memenangkan pihak yang lain.

Tasawur Islam mendapati, masyarakat dibutakan dengan suasana yang mana zahirnya itu kadang-kadang merupakan satu penipuan besar yang sangat terselindung. Keadilan dalam kehidupan seperti dirosakkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Benarlah disebut dalam Al-Quran, hidup ini adalah permainan dan senda gurauan. Bukan mudah untuk meletakkan keadilan di tempat yang sebenar. Tanpa sedar, setiap manusia keseluruhannya boleh digelar zalim kerana definisi zalim itu sendiri membawa maksud tidak meletakkan sesuatu di tempatnya. Keadilan dalam Islam memerlukan kepimpinan yang bertanggungjawab serta mempunyai kekuatan moral dan kejujuran yang tinggi, justeru memahami keadilan bermula daripada proses perlantikan sesuatu jawatan (Nor Hartini, t.t).

iii)              Disiplin

Dalam suasana permainan bola sepak, baik pemain mahupun penonton, disiplin mereka dapat ditanggapi. Secara keseluruhannya, disiplin pemain dan penyokong merupakan faktor penyumbang kejayaan pasukan pilihan. Permainan yang kemas dan teratur diiringi semangat daripada penyokong yang bersorak tanpa ada unsur-unsur provokasi kepada pihak lain menjadikan pasukan pilihan unggul berbanding pasukan yang lain. Unsur provokasi yang dimaksudkan di atas adalah sorakan sindiran kepada pihak lawan, membaling botol di padang serta memasang mercun ketika dan selepas perlawanan bola sepak. Oleh itu, disiplin di sini menggambarkan penjagaan hak diri dan orang lain.

Islam adalah agama yang mementingkan disiplin. Dalam setiap keadaan kita disuruh untuk mengikut peraturan yang telah disediakan supaya mudah untuk mecapai apa yang diinginkan. Tasawur Islam dalam permainan bola sepak melihat kewujudan penyokong bola sepak yang menitikberatkan penjagaan solat walaupun berada dalam keadaan genting. Tuntasnya, cukup untuk menggambarkan pegangan seseorang muslim apabila melihat dan menilai bagaimana seseorang itu menjaga, melaksanakan dan menghayati solatnya. Kaitan solat dan permainan bola sepak adalah faktor pertolongan Allah jua yang memberikan kemenangan kepada sesiapa atau pasukan mana yang dikehendakinya dengan melihat kembali penjagaan hak yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Petikan sepotong hadis dalam Hadis 40 Imam Nawawi :-

 Daripada Abu al-’Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu dengan suatu mudarat, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran- lembaran telah kering (dakwatnya).[Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi]
Kesimpulan
Dapat disimpulkan bahawa kesatuan, keadilan dan disiplin merupakan ibrah yang dapat dilihat dalam sebuah perlawanan bola sepak. Tidak semua yang wujud dalam rangkumannya adalah betul dan tidak semua juga adalah salah. Setiap penilaian yang ditafsir adalah berdasarkan pemikiran yang pelbagai. Sudah semestinya kita dikelilingi dengan pelbagai pemikiran yang perlu diraikan bersama. Akhir kalam, penilaian yang terbaik itu sudah semestinya berpaksikan rujukan pertama iaitu, Al-Quran dan Sunnah.
Glosari

Ukhrawi                              : Bersifat akhirat, menuju akhirat
Al-Khaliq                            : Yang Maha Mencipta
Azza wa Jalla                    : (Allah) Yang Mulia, Yang Memiliki Kebesaran
Ukhuwwah                        : Persaudaraan dalam Islam

Bibliografi

1            Mustafa Abdul Rahman, 2008. Hadis 40 Imam Nawawi (Terjemahan dan Syarahannya). Dewan Pustaka Fajar, Selangor.
2                          Abdul Malik AbdulKarim Abdullah. (1984). Tafsir Al-Azhar. Surabaya, Yayasan Latimojong.
3                         Thohir Luth, 1999. Dakwah dan Pemikirannya. Gema Insani Press, Jakarta.
Diakses dari http://ummatanwasatan.net/2011/11/surah-ali-imran-ayat-103-berpegang-teguh-pada-tali-allah/pada 13 November 2013.
Diakses dari http://fis.uii.ac.id/images/hukum-islam-2012-zakaria-korupsi-sepak-bola.pdf pada 13 November 2013.
Diakses dari http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/7929-nilai-keadilan-dalam-pengurusan-organisasi pada 13 November 2013.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...